‘Hilang’ Dana RM4juta Kerana Prinsip!
Beberapa tahun lepas, kami merancang untuk mewujudkan Online TV bagi menangkis serangan media terhadap Islam. Jumlah yang kami perlukan pada waktu itu adalah RM4juta bagi operasi selama 3 tahun.
Alhamdulilah, seorang hamba Allah bergelar Dato A menghubungi kami dan pertemuan pertama menyusul. Beliau berjanji memberikan kami RM2juta tetapi dengan syarat kami perlu mendapatkan RM2juta lagi dari mana-mana individu atau kumpulan. Ringgit-to-ringgit pledge.
Maka kami berusaha dan Alhamdulilah beberapa bulan selepas itu, seorang lagi individu bergelar Dato B setuju memberikan lagi RM2juta bagi projek kami tetapi juga dengan syarat, Dato yang seorang lagi memberikan RM2juta yang dijanjikannya.
Kami kembali kepada Dato A dengan berita gembira ini. Namun selepas hampir dua bulan mesej dan panggilan tidak dilayan, maka saya menghubungi beliau memaklumkan bahawa itulah kali terakhir saya akan menghubunginya untuk mendapatkan dana yang dijanjikan beliau berkenaan projek ini.
Dalam mesej saya kepada beliau, saya menyatakan,
“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan Dato selama ini & saya tidak akan teks Dato lagi untuk mendapatkan sokongan untuk projek online dakwah kami kerana saya tidak mahu sesiapa mempunyai persepsi negatif terhadap kami kononnya daie selalu merayu untuk dana.”
Sehingga hari ini kami berpegang pada prinsip tidak akan mengemis mahupun merayu kerana tugasan dakwah adalah tugasan mulia yang dilaksanakan oleh para anbiya.
Prinsip kami adalah kami akan memulakan sesuatu projek yang bermanfaat dan kemudian kami membuka peluang kepada mereka yang ingin mengambil peluang melabur bagi saham akhirat mereka sendiri.
Kami yakin dengan firman Allah Subhana Wa Ta’ala;
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) & meneguhkan tapak pendirian kamu.”
(Surah Muhammad 47:7)
Maka kami yakin Allah pasti akan mengerakkan tentera-tenteranya untuk bersama kami. Yang perlu kami fokuskan adalah ikhlaskan niat dan lakukan yang terbaik . We do our best and let Allah do the rest.
Kerana prinsip, kami kehilangan RM4juta. Berbaloi?
Ya sudah tentu berbaloi. Jangan biarkan sesekali prinsip tergadai kerana wang & kuasa. Dakwah tugas mulia tugas para anbiya & para anbiya tidak mengemis untuk berdakwah tetapi Allah hadirkan mereka yang mencari keredhaanNya untuk bersama membantu para anbiya dalam berdakwah.
Semoga Allah ikhlaskan niat kita dan kurniakan kekuatan agar kita terus istiqomah dengan prinsip selari Al-Quran & Sunnah demi mencari keredhaanNya sahaja. Allahuma Ameen.
MAYBANK
Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor
5648 1052 0353
